Followers
Thursday, 7 March 2013
####
SEJAK kebelakangan ini, pelbagai isu berkaitan perkahwinan dipaparkan media hingga mengundang polemik dan perdebatan masyarakat. Masalah rumah tangga antara pasangan suami isteri seandainya tidak dileraikan secara baik dan berhemah menyebabkan berlakunya tuduh menuduh, cabar mencabar hingga akhirnya mahkamah menjadi medan terakhir menyelesaikan kekusutan itu.
Islam sebagai agama syumul menekankan kesejahteraan hidup umatnya, menitikberatkan persoalan rumah tangga menjadi jambatan mengukuh ukhuwah dan jalinan kasih sayang antara suami isteri.
Pentingnya tuntutan perkahwinan sebagai jalan meleraikan tuntutan hawa nafsu serta fitrah semula jadi manusia dinyatakan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Wahai kaum pemuda, barang siapa antara kamu yang mampu berkahwin, maka berkahwinlah. Tetapi, jika ada antara kamu yang tidak mampu, maka hendaklah kamu berpuasa. Sesungguhnya, puasa itu menahan keinginan syahwat.”
Persoalannya hari ini, ramai pasangan yang menempuh gerbang perkahwinan gagal melayarkan bahtera kehidupan bersama tatkala berhadapan kemelut dan gelombang masalah berpunca daripada kejahilan ilmu serta terlalu dikongkong oleh emosi serta perasaan.
Akibatnya, titik perceraian menjadi jalan pemisah meleraikan hubungan cinta dan kasih sayang lama terjalin. Rasulullah SAW menggariskan panduan dan etika khususnya ketika mula-mula memilih jodoh supaya perkahwinan ditempuhi kekal hingga akhir hayat selain mendapat keberkatan Allah.
Sabda Baginda SAW yang bermaksud:
“Berkahwin seseorang lelaki itu terhadap perempuan yang dinikahinya adalah kerana empat perkara: iaitu kerana harta benda, status keturunan, kecantikan paras ruap serta ketaatan kepada agama. Maka, pilihlah perempuan yang beragama nescaya akan berbahagialah hidupmu.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)
Dalam kehidupan masyarakat moden hari ini yang meletakkan nilai material atau kebendaan sebagai perkara utama dalam memilih pasangan, soal budi bahasa serta wadah agama tidak lagi menjadi perkara pokok seperti disarankan Baginda Rasulullah SAW.
Wanita salihah serta memiliki ketaatan kepada perintah agama, bukan lagi menjadi ukuran ketika memilih jodoh. Sebaliknya, soal pangkat dan kerjaya, selain cinta dan paras rupa mengambil tempat pertama dalam ukuran mencari pasangan hidup.
Kajian dijalankan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan aspek pemilihan jodoh baru-baru ini mendapati kebanyakan lelaki mengutamakan rupa paras pasangan ingin dinikahi, sementara bagi wanita pula lebih sukakan pasangan hidup mempunyai kerjaya stabil serta kewangan kukuh.
Islam bukan menolak bulat-bulat tuntutan naluri semula jadi manusia memerlukan harta benda, pangkat dan kerjaya, kecantikan dan keelokan rupa pasangan tetapi jangan terlalu menekankan aspek keduniaan hingga meminggirkan amalan agama sebagai bekalan akhirat.
Bagi mereka yang sedang mencari pasangan hidup yang sesuai atau baru saja melabuhkan diri di alam berumahtangga antara aspek wajar diberi perhatian adalah memahami peranan dan tanggungjawab suami isteri.
Selain itu, pasangan wajar menjaga keaiban masing-masing supaya tidak menjadi bahan bualan di luar rumah. Sikap toleransi atau bersedia mengalah seharusnya perlu ada pada setiap pasangan supaya tidak timbul perasaan ego dan sombong dalam diri masing-masing.
Dalam soal berumahtangga, model yang sepatutnya dijadikan ikutan adalah Rasulullah SAW. Baginda sentiasa mengasihi isterinya tidak pernah bermasam muka, memberi layanan baik serta mengungkapkan kata bersopan dan berhemah.
Diriwayatkan Saidatina Aisyah:
“Satu malam beliau terlelap ketika sedang menunggu Rasulullah SAW pulang dari masjid. Apabila tersedar pada tengah malam, beliau mendapati Rasulullah belum pulang. Sebaik saja beliau membuka pintu, didapatinya Rasulullah tidur di depan muka pintu. Saidatina Aisyah mengejutkan Baginda lalu bertanya mengapa Rasulullah tidur di luar rumah. Baginda meminta maaf kepada Aisyah kerana terlewat pulang dan tidak sampai hati mengejutkan Aisyah yang tidur di dalam rumah.”
Begitulah beradabnya layanan Rasulullah SAW terhadap isterinya dalam menjaga hubungan perkahwinan. Kasih sayang dan perasaan cinta bersandarkan sunnah akan menjadikan jalinan hubungan suami isteri kian hebat dan kukuh malah dapat melahirkan zuriat yang soleh yang berkualiti.
♥Niesa' imana♥
Till then,
Luv, xoxo ;)
- Posted using BlogPress from my iPhone
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment